Skip Ribbon Commands
Skip to main content
Navigate Up
Sign In
Laman Utama > Blog Portal > Posts > Panduan Syariah Dalam Penjanaan Dan Agihan Dana Waqaf UKM (Bahagian akhir)
Ogos 06
Panduan Syariah Dalam Penjanaan Dan Agihan Dana Waqaf UKM (Bahagian akhir)

PELAKSANAAN PENJANAAN DAN AGIHAN DANA WAQAF DI MALAYSIA

1.1   Pengenalan

Walauapa pun yang dinyatakan di atas, perlu disedari bahawa majority harta yang diwaqafkan adalah dalam bentuk waqaf khas yang terdiri daripada masjid dan tanah perkuburan. Waqaf dalam bentuk dana tidaklah begitu polular di dalam masyarakat kita dewasa ini. Di Malaysia, dana dan harta waqaf yang ada adalah dalam pelbagai bentuk, antaranya adalah seperti yang berikut:

1.       Masjid dan tanah perkuburan

2.       Surau, sekolah dan pondok pendidikan

3.       Ladang pertanian, kebun dusun dan bendang

4.       Hasil sewaan

5.       Tanah terbiar

6.       Bangunan (kedai, rumah kedai, kediaman)

7.       Hasil sewaan bangunan

8.       Waqaf wang tunai

9.       Waqaf saham

10.   Saham waqaf

11.   Waqaf kaki

12.   Waqaf jemba

13.   Waqaf korporat

14.   Skim atau pelan takaful waqaf

15.   Lain-lain harta alih (mesin hemodialisis dll.)

Tetapi hanya waqaf masjid dan tanah perkuburan sahaja yang paling terkenal atau diketahui oleh masyarakat Malaysia.

1.2   Perkembangan Terkini Dalam Dana Waqaf Di Malaysia

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP) pada hakikatnya telah melaksanakannya dengan pengendalian oleh Lembaga Amanah Masjid Negeri Perak dalam bentuk wang tunai. Peruntukan statutory mengenainya telah lama disempurnakan dibawah Peraturan 18(2), Peratoran Kawalan Waqaf 1959 bahawa: Jawatankuasa Kawalan Waqaf Negeri Bolehlah menerima wang tunai daripada siapa-siapa yang berhajat hendak mewaqafkan bagi faedah am dengan mengisi satu borang yang ditetapkan baginya.

                Majlis Agama Islam Pulau Pinang pula seterusnya mengorak langkah dengan memperkenalkan Skin Dana Waqafnya yang tersendiri pada 17 Julai 2005 bersamaan dengan 10 Jamadil Akhir 1426 H. Perkembangan terkini pula menyaksikan Negeri Sembilan telah menawarkan skim waqafnya yang turut menjadi wang tunai sebagai dana yang boleh diwaqafkan menerusi Enakmen Waqaf (negeri Sembilan) 2005 yang diletakkan di bawah Seksyen 11(1)(a). Kesemua ini melibatkan perwaqafan dana tunai diperingkat permulaan yang kemudiannya diaplikasikan kepada pembelian asset kekal ataupun disalurkan terus kepada tujuan-tujuan yang dibenarkan oleh hokum Syarak.

                Selain daripada itu, terdapat syarikat-syarikat kewangan dan organisasi lain di negara ini yang turut memperkenalkan amalan berwaqaf melalui pembentukan dana waqaf seperti Syarikat Takaful Malaysia Bhd. yang telah memperkenalkan  Pelan Takaful Waqaf.

                Johor Coropration pula menerusi Masjid An-Nur Kotaraya ada mengadakan kerjasama dengan Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) dengan mewujudkan Klinik Waqaf An-Nur yang telah dapat mempromosikan produk sadaqah jariyah ini di kalangan masyarakat membabitkan antara lain sumbangan dalam bentuk dana waqaf secara tunai termasuk waqaf mesin hemodialisis. Klinik ini merupakan sebuah pusat kesihatan yang berteraskan konsep waqaf. Sebuah Pusat Dialisis telah dibina bersebelahan dengan klinik tersebut. Pada hakikatnya, Johor Corporation telah mewaqafkan Lot 85, 86 dan 87 Tingkat 3, Plaza Kotaraya bersebelahan Masjid An-Nur Johor Bahru sebagai tapak klinik tersebut dengan kos pembangunan keseluruhan sebanyak rm425,160.20. Jumlah ini juga merupakan sebahagian sumbangan Johor Corporation kepada aktiviti-aktiviti waqaf anjuran klinik ini. Sementara itu, pada 16 November 1999, Duli Yang Maha Mulia Sultanah Johor turut mewaqafkan sebuah mesin hemodialisis dan 6 buah lagi oleh Majlis Agama Islam Johor untuk kegunaan pesakit di Klinik Waqaf An-Nur dan Pusat Dialisis. Seterusnya pada 6 September 2002, klinik ini telah menerima cek berjumlah RM227,700.00 daripada Majlis Agama Islam Johor di mana menerusinya, 3 buah mesin hemodialisis lagi telah dibeli dan juga mesin reverse osmosi dan sebuah generator yang semuanya ditempatkan di Pusat Dialisis Klinik Waqaf An-Nur Masjid Jamek Sultan Ismail, Batu Pahat.

                Perlu dinyatakan di sini bahawa berkuatkuasa pada 1 Disember 1999, Lembaga Hasil Dalam Negeri telah memberikan pelepasan cukai kepada penderma-penderma Dana Klinik Waqaf An-Nur ini mengikut seksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 (Akta 53). Justeru, negeri-negeri lain yang akan dan sedang menjalankan aktiviti kutipan dana ini juga hendaklah memohon untuk mendapatkan pelepasan ini. Penulis yakin, menerusi hebahan mengenainya, masyarakat akan bermotivasi untuk melaksanakan amalan sadaqah jariyah yang dibincangkan ini. Setakat ini, telah ada Majlis Agama Islam Negeri yang turut berjaya mendapatkan pelepasan cukai bagi dana yang diwaqafkan seperti Melaka, Pahang, Selangor dan Pulau Pinang. Penulis mencadangkan agar pelepasan cukai kepada pewaqaf ini hendaklah dimasukkan jugak kedalam borang waqaf, pamphlet ataupun brosur yang mempromosikan perwaqafan dana waqaf ini.

                Perwaqafan dalam bentuk dana juga boleh berlaku menerusi saham waqaf yang diwujudkan di beberapa negeri di Malaysia. Ini memandangkan pada kebiasaanya prosesnya adalah dimulakan dengan pengumpulan dana atau kumpulan wang yang berbentuk tunai yang kemudiannya diaplikasikan kepada pembelian asset kekal di mana hasilnya akan disalurkan kepad tujuan-tujuan kebajikan yang dibenarkan oleh Hukum Syarak.Sebagai contoh, tafsiran dapat dilihat di dalam Seksyen 2, Enakmen Waqaf (Negeri Selangor) 1999 (no. 7 1999) iaitu prewujudan suatu waqaf melalui saham-saham yang ditawarkan dan kemudiannya diwaqafkan oleh pembeli kepada Majlis. Pelaksanaannya dinyatakan di bawah Seksyen 17(1) enakmen yang sama bahawa: Majlis boleh menawarkan saham waqaf terhadap apa-apa harta yang diperolehinya atau yang akan diperolehinya kepada mana-mana orang untuk saham-saham itu dibeli dan kemudiannya diwaqafkan kepada Majlis.

                Contoh perwaqfan negeri-negeri lain dapat dilihat di Johor, Melaka, Pulau Pinang, Pahang dan yang terkini adalah di Negeri Sembilan. Selanjutnya, menerusi Enakmen Waqaf (Negeri Sembilan) 2005 juga di bawah Seksyen 11(1)(b), penawaran bon waqaf atau surat cara lain bagi jaminan berharga telah ditawarkan kepada mana-mana orang, persatuan atau institusi uantuk kemudiannya diserahkan sebagai waqaf oleh pembeli bon atau surat cara lain tersebut kepada Majlis.

                Selain daripada itu, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) turut menawarkan saham waqfnya termasuk Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) sebelum ini yang telah memperkenalkan Skim Pembangunan Waqaf Nasional  dalam usaha mempromosikan budaya beramal jariah di kalangan masyarakat di Malaysia.

                Pendekatan berwaqaf menerusi dana dan saham waqaf serta harta-harta  kontemporari lain yang disebutkan ini sangantsesuai dilaksanakan di negara ini tanpa menyempitkan pelaksanaanya melalui waqaf dalam bentuk tanah dan bangunan sahaja. Menyedari harta daripada kategori ini khususnya tanah amat berkurangan sekali, maka masyarakat perlu menggunapakai pendekatan baru supaya amalan berwaqaf tidak mati ditelan zaman dan pupus begitu sahaja.

                Mengenai syarat kekal dalam sesuatu perwaqafan, keperluannya melalui saham waqaf dan dana waqaf ini boleh direalisasikan menerusi konsep istibdal. Ini membabitkan pertukaran dana daripada saham yang telah diwaqafkan kepada asset berbentuk harta tak alih. Aplikasi ini adalah bertepatan dengan pandangan yang ada dikemukakan oleh Ibn Abidin yang telah dinyatakan sebelum ini.

                Pun begitu, pemakaian pandangan yang dikemukankan oleh Imam Malik dan mazhab Maliki serta Imam AbuHanifah yang tidak menyokong kepada keperluan syarat kekal bagis esuatu perwaqafan ini juga boleh digunapakai. Dalam hubungan ini, Imam Malik merasa yakin bahawa waqaf tanpa terikat kepada perinsip kekal dibolehkan demi untuk memperluaskan amalan berwaqaf ini di kalangan masyarakat.

                Walaubagaimanapun, perlu dinyatakan di sini bahawa pewaqafan daripada kategori masjid dan tanah perkuburan hendaklah dibuat secara kekal berdasarkan persetujuan kesemua sarjana perundangan Islam kecuali jika pendekatan istibdal diikuti dalam situasi yang mendesak.

                Sehingga kini, nampaknya kecenderuang masyarakat masih lagi kepada mewaqafkan harta-harta tak alih sebagai subjek perwaqafan mereka. dalam hubungan ini, Majils Agama Islam Negeri perlu mengambil inisiatif untuk memperkanalkan secara lebih bersungguh-suhggnuh waqaf daripada kategori harta-harta baru masa kini sebagaimana yang dibincangkan di dalam artikel ini. Penyebarannya melalui media cetak dan media elektronik perlu dibuat supaya masyarakat nampak kepentingan  dan statusnya sebagai alternative untuk berwaqaf selain daripada tanah dan bangunan semata-mata.

                Langkah yang efektif bagi menarik perhatian masyarakat untuk berwaqaf adalah dengan siaran iklan di kaca tv termasuklah menerusi suratkhabar-suratkhabar yang ada di pasaran.

                Lebih daripada itu, perwaqafan menerusi pembentukan Bon waqaf (sukuk Waqaf) sebagaimana yang ditawarkan di bawah Enakmen Waqaf (Negeri Sembilan) 2005 hendaklah dimulakan supaya pembangunan waqaf dapat dibiayai sewajarnya. Begitu juga pemakaian kontemporari waqaf REIT dengan konsep Amanah Pelaburan Harta Tanah atau lebih dikenali sebagai REITs (Real Estate Investment Trust) yang boleh diaplikasikan dalam membangunkan dana waqaf ini. Signapura di bawah Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) telah berjaya melaksanakan pembangunan harta waqafnya melalui aplikasi kontrak-kontrak muamalah Islam melibatkan misalnya bon atau sukuk musyarakah, dan ijrah, termasuklah melaksanakan internal REITs bagi pembangunan Tower Complexnya ( Kompleks Menara Zam Zam) dengan metode sukuk atau bon Islam ini menerusi pemakaian suku Al-Intifa (timeshare bond)

1.3   Rumusan dan Cadangan

Pada hakikatnya, dana waqaf adalah satu sistem waqaf harta yang ynik dan mampu menyelesaikan banyak masalah ekonomi yang tidak stabil pada masa ini tetapi suatu anjakan paradigma perlu dibuat oleh kedua-dua belah pihak, iaitu Majlis Agama Islam Negeri dan pihak pewaqaf sendiri untuk memperluaskan amalan berwaqaf kepada harta-harta alih dalam bentuk yang dibincangkan ini. Masyarakat perlu mengetahui bahawa waqaf boleh juga dibuat daripada harta alih dan dapat dibangunkan pula dengan metode-metode kontemporari berlandaskan syariah yang dapat memberikan manfaat kekal kepada benefisiarinya. Sementara itu di pihak Majlis, mereka perlu bersedia dari segala sudut untuk menguruskan asset-aset dalam kategori ini secar professional. Pelantikan agen professional bagi mengendalikannya merupakan suatu langkah yang bijak bagi mengatasi masalah ketiadaan staf atau pegawai Majlis yang kompeten. Ianya juga boleh dilaksankan secara usahasam ataupun penubuhan syarikat ataupun perbadanan khusu untuk merealisasikannya, justeru, semua perjalanan dana waqa mesti dijalankan atas dasar panduan syarak supaya waqaf tersebut sah dan berkat di sisi Allah STW juga berjaya dalam erialisasikan maksud dan tujua dari ibadat waqaf.

Dipetik dari kertas kerja Panduan Syariah Dalam Penjanaan Dan Agihan Dana Waqaf UKM yang ditulis oleh Prof. Madya Dato' Dr. Hailani Muji Tahir (Jabatan Syariah, Fakulti Pendidikan Islam UKM)

Comments

There are no comments for this post.
The National University of Malaysia
43600 UKM,
Bangi Selangor,
MALAYSIA
Tel: +603 8921 5555
Fax: +603 8921 4097

                                                                                                                                                Copyright 2014- Pusat Teknologi Maklumat